Thursday, September 29, 2011

Nyamuk dan Harimau




Analogi Harimau dan Nyamuk

        Bayangkan seekor harimau dengan ganasnya menerkam masuk ke dalam rumah kita. Aummm!!!

Gigi-giginya menyeringai. Kuku-kukunya tajam mencengkam. Lalu, apa yang terjadi? Sudah tentu ada di antara kita yang bertempiaran lari, menjerit, bertakbir, menyorok di bawah katil, mengunci diri di dalam bilik mandi dan ada juga yang pengsan terus.
       
Bayangkan pula seekor nyamuk terbang masuk ke dalam rumah kita.


Nggg!!!


Apa yang terjadi? Hmm, ia terbang bebas ke hulu, ke hilir. Ramai yang buat tidak hairan sahaja. Apalah yang perlu ditakutkan pada seekor nyamuk, hati berbisik. Cuma seekor.
        
Selalunya begitu, semua orang takut kepada perkara yang besar kerana ia kelihatan berbahaya namun tidak takut kepada perkara yang kecil. Sedangkan, jika ingin dibandingkan nisbah orang yang mati dibaham harimau dengan orang yang mati digigit nyamuk, mana lebih ramai?

Bandingan mudahnya, berapa kali setahun secara anggarannya akhbar memaparkan berita tentang orang yang menjadi mangsa Pak Belang? 


Berapa kali pula dilaporkan berita tentang penyakit demam denggi, demam malaria, Japanese Encephalitis, kaki untut dan sebagainya yang semuanya berpunca daripada gigitan nyamuk?     


Begitulah analogi yang boleh dikaitkan dengan fenomena zina pada hari ini. Semua orang takut dan benci berzina. Ia dianggap perkara besar dan berbahaya.


Namun ramai orang yang tidak takut pada perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina. Ia sering dianggap kecil dan dipandang remeh. Tiada sensitiviti untuk berhati-hati dengannya. Akibatnya, yang kecil ini membawa kepada kemusnahan besar dalam hidup seseorang. 


Setiap dosa besar bermula daripada dosa kecil. Setiap jenayah anggota bermula daripada dosa hati. Tidak hairanlah Rasulullah SAW dan generasi salafussoleh amat berhati-hati menjaga hati dengan memperbanyakkan istighfar setiap hari meskipun mereka bukanlah ahli dosa.

عن الأغرَِِِبن يسار المزني رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلي الله عليه وسلم : (( يا أيها الناس، توبوا إلي الله واستغفروه ، فإني أتوب في اليوم مائة مرة))(58) ( رواه مسلم)


“Dari al-Agharr bin Yasar al-Muzani radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
”Wahai sekalian manusia, bertaubat dan minta ampunlah (istighfar) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah seratus kali setiap hari.” (HR. Muslim)

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah manusia yang senantiasa bertaubat beristighfar kepada Allah, hal ini sebagaimana hadits di atas dan juga hadits berikut ini:

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلي الله عليه وسلم يقول: (( والله إني لاستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أكثر من سبعين مرة))(57) ( رواه البخاري)

“Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, dia berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:”Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam satu hari lebih dari 70 kali.”(HR.Bukhari)


Tidak hairanlah al-Quran menyuruh berawas pada perkara yang dianggap kecil itu. Firman Allah SWT, “Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-buruk jalan.” (Surah al-Isra’: 32).

Nyamuk-nyamuk Ikhtilat

            Sms tanpa  urusan, call tanpa urusan, dating tanpa mahram, chatting tanpa urusan dan bermacam-macam lagi bentuk fitnah komunikasi tanpa urusan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah antara jalan-jalan menghampiri zina. Ia ibarat nyamuk-nyamuk ikhtilat yang boleh menjunamkan seseorang kepada penyakit berbahaya.



            Teknologi tidak salah. Tapi manusialah yang suka menggunakannya dengan tujuan yang salah. Berurusan atau bermuamalat dengan lawan jenis menggunakan teknologi-teknologi ini bukannya salah. Tapi manusia suka menggunakannya untuk bergaul bebas atau berikhtilat.

Apa itu ikhtilat? Ikhtilat ialah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa urusan. Dalam Islam, asal pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram, al-aslu fil ikhtilat haram. 

Namun jika atas dasar urusan dan kerja, maka interaksi antara lelaki dan perempuan bukan mahram menjadi harus. Ia bukan dinamakan ikhtilat sebaliknya muamalat. Kaedah syarak tentang asal hukum muamalat adalah harus iaitu al-aslu fil muamalat mubah.


Ada banyak urusan. Urusan jual beli, kerja, persatuan, pelajaran, khidmat kaunseling, dan sebagainya. Semua ini urusan. Ianya harus. Namun, ianya bergantung juga pada niat hati masing-masing.

Ini disokong pula oleh kaedah syarak yang menyebut, al-darurah tubiihul mahzurat  bermaksud darurat membolehkan apa yang dilarang. Urusan antara lelaki dan perempuan pada hari ini tidak dapat dinafikan adalah suatu keperluan atau disebut darurat.

Namun, pembolehan ini tidak dilepaskan sebebas-bebasnya, sebaliknya, ada adab,akhlak dan batasan yang memagarinya. Kaedah syarak yang lain menyebut, al-dorurah tuqaddar biqadariha bermaksud darurat diukur dengan kadarnya.

Masalahnya, ramai orang yang menjadikan urusan satu alasan untuk menghalalkan ikhtilat yang terlarang.Call, sms, dating, chatting berbaur peribadi yang diselit dicelah-celah urusan kian membarah sebagai budaya. Sekadar ingin bertanya,

Dah makan ke? 
Tengah  buat apa tu?
Esok nak pakai baju warna apa? 
Dah tidur ke?

Adakah  ini dikatakan urusan? Manusia tidak berhak menghukum hati sesiapa, bertanyalah sendiri kepada Pencipta hati masing-masing. Mungkin benar adanya urusan di sebalik pertanyaan-pertanyaan seperti ini bergantung kepada niat. Wallahua'lam. Kita hanya melihat luaran, Allah lebih  tahu maksud dalaman.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan urusan?

Urusan adalah sesuatu yang apabila kita bentangkan depan Allah SWT, kita yakin kita mampu jawab dan berhujah depan Allah bahawa ia adalah urusan, maka itulah yang dinamakan urusan. Jika hati masih berasa was-was samada ia suatu urusan atau tidak, maka berawaslah. 

Sabda Rasulullah SAW,
عن النواس بن سمعان عن النبي قال: (( البر حسن الخلق. والإثم ما حاك في نفسك
وآرهت أن یطلع عليه الناس )). رواه مسلم. وعن وابصة بن معبد قال: (( أتيت رسول
الله e فقال: ( جئت تسأل عن البر؟ قلت: نعم. قال: استفت قلبك البر ما اطمأنت إليه النفس
واطمأن إليه القلب، والإثم ما حاك في النفس وتردد في الصدر وإن أفتاك الناس وأفتوك ))
حدیث حسن رویناه مي مسندي الإمامين؛ أحمد بن حنبل والدارمي بإسناد حسن.

Daripada al-Nawwas ibn Sam'aan r.a. daripada Nabi SAW baginda bersabda: 
Kebajikan itu ialah keelokan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya. (Hadis riwayat al-lmam Muslim)
Dan daripada Waabisoh ibn Ma'bad r.a. beliau berkata: Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu. Baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu. (Hadis Hasan riwayat al-lmam Ahmad dan al-Daarimie dengan isnad yang baik).
Cinta Fitnah
            Cinta yang asalnya suci dan bersih di hati setiap insan boleh tercemar apabila disalurkan dengan jalan-jalan yang mendekati zina. Berkata Prof. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi apabila ditanya tentang bercinta sebelum bernikah, “Saya ingin tegaskan kembali apa yang selalu saya katakan, saya tidak memuji apa yang dilaungkan segolongan orang tentang pentingnya bercinta sebelum bernikah, kerana cara seperti ini dikhuatirkan berbahaya dan syubhat.” (Rujuk buku Wanita dalam Fikih al-Qaradhawi).
            Katanya lagi, “Banyak orang yang memulakan cara bercinta dengan cara yang tidak benar, seperti berpacaran melalui percakapan telefon dengan bicara yang sia-sia. Ia seringkali dilakukan oleh anak-anak muda ketika menikmati waktu kosong atau bosan. Berpacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh remaja puteri, dan ini biasanya yang sering terjadi dalam keluarga, tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik oleh remaja putera mahupun remaja puteri. Awalnya memang cuba-cuba tapi kemudiaannya ketagihan. Awalnya bercanda tetapi akhirnya serius.”
            Menghampiri zina semakin menjadi trend muda-mudi malah orang dewasa sekalipun. Rasulullah SAW mengingatkan:
حبك للشئ يعمى ويصم (رواه أحمد)

“Kecintaan kamu kepada sesuatu boleh membuatkan kamu buta dan tuli.” (Riwayat Ahmad).
          Soal cinta amat akrab dengan soal hati.  Oleh sebab  itulah hati perlu  berada dalam keadaan sentiasa berhati-hati dengan memperbanyakkan istighfar. Bimbang rasa suka, cinta  dan sayang yang suci itu terheret  menjadi rasa ingin sms selalu, call selalu, jumpa selalu. Seterusnya, hati yang menjadi raja kepada jasad boleh mengarah anggota  badan  seperti lidah,  tangan,  kaki, mulut dan telinga, bertindak sesuatu secara salah. Ketika inilah fitrah menjadi fitnah.    

Amat jarang kedengaran pergaulan antara lelaki dan perempuan bermula dengan perbuatan yang ‘berat-berat’ terus. Ia biasanya dimulai dengan yang ‘ringan-ringan’ dahulu atau yang disebut sebagai menghampiri zina.
           
 Ingat pesan Nabi,

فالعين تزنى وزناها النظر
واللسان يزنى وزناه النطق
والرجل تزنى وزناها الخطى
واليد تزنى وزناها البطش
والقلب يهوى ويتمنى
والفرج يصدق ذلك أو يكذبه
 (رواه مسلم والبخارى وأبو داود)

Mata itu berzina dan zinanya adalah memandang (tanpa keperluan),
Lisan itu berzina dan zinanya adalah bercakap (yang sia-sia, lucah dan sebagainya),
Kaki itu berzina dan zinanya adalah melangkah (untuk bermaksiat),
Tangan itu berzina dan zinanya ialah merangkul (untuk bermaksiat),
Hati itu berhawa dan berangan-angan,
Faraj membenarkan atau mendustakannya.

Dalam mengambil  sikap berhati-hati menjaga hati, kita bukan  sahaja takut hati asyik membayangkan persetubuhan luar nikah. Malah, jagalah hati daripada asyik membayangkan perkara-perkara yang menghampiri zina daripada sekecil-kecil perkara seperti berhubungan, berjumpa, berpelukan, bergeselan dan sebagainya. Jika terus dilayan, hati akan  terheret jauh dan makin jauh. Anggota badan mula tidak keruan untuk bertindak tatkala menerima tekanan rajanya.

Remaja Yang Dikagumi Allah

            Cinta fitnah yang tersalur dengan jalan-jalan menghampiri zina ini tidak ke mana. Orang yang memilih cara ini hanya memilih untuk disakiti dan dikecewakan samada di dunia atau di akhirat atau kedua-duanya sekali.

Allah SWT mengingatkan kita,
الأخلاء يومئذ بعضهم لبعض عدو إلا المتقين (الزخرف: 67)

“Teman-teman kesayangan pada hari itu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.”

            Sama-samalah menjadi remaja yang memelihara kesucian diri.  Remaja yang membina kualiti fardu Muslim insya-Allah akan dianugerahi Allah dengan Baitul Muslim. Baitul Muslim ini akan mencorakkan satu generasi masa depan yang hebat untuk membina masyarakat Muslim seterusnya negara dan khilafah.

            Sabda Rasulullah SAW,
  • عجب ربك من الشاب ليست له صبوة (رواه أحمد)
  • Allah merasa takjub kepada pemuda yang tiada baginya rindu yang cenderung kepada kebodohan. (Riwayat Ahmad)





Sumber : Ustazah Fatimah Syarha

Tuesday, September 27, 2011

BARAH YANG KIAN PARAH


BARAH YANG MENULAR TANPA DISEDARI

Ego, antara sifat Iblis dan kerana sifat - Ana khairun minhu - itulah dia dilucutkan Allah menjadi sehina-hina makhluk di sisi-Nya. Sifat ego atau boleh dibahasakan sebagai takabbur ini pasti akan meresapi mana-mana individu apatah lagi jika menurut persepsinya dia mempunyai kelebihan berbanding dengan orang lain. Apabila sifat ini menguasai diri seseorang, maka ia akan menyebabkan wujudnya masalah khususnya di dalam tanzim (organisasi) itu. Oleh itu, mari kita semak adakah ada pada diri kita ciri-ciri penyakit tersebut.


(1). Bila jawapan yang diberi betul, dia akan rasa terhibur, senang hati dan bangga

Jawapan yang betul itu adalah menurut pengetahuannya sendiri apatah lagi jika dia ditanya oleh individu-individu yang berpangkat besar atau ilmunya tinggi lalu dia dapat memberikan jawapan dengan baik. Apa sahaja yang dipersoalkan akan cuba dijawabnya biarpun pada hakikatnya dia itu jahil akan pengertiannya yang sebenar. Tiada padannya istilah 'Ana tak tahu', 'nanti ana rujuk balik', 'Wallahu'alam' dan segala jawapan yang padanya seolah-olah boleh menjatuhkan martabat keilmuannya. Adalah merupakan suatu jenayah yang besar di sisi Islam apabila seseorang itu berlagak tahu walhal dia tidak tahu lalu menyebabkannya mengeluarkan pandangan dan fatwa-fatwa yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan orang ramai dan pihak yang meminta pandangannya terjerumus ke arah perkara yang batil.

(2). Jika tidak dilantik memegang sesuatu jawatan, dia akan rasa kecewa dan resah

Sikap gilakan jawatan antara sikap yang buruk. Nabi pernah bersabda yang mafhumnya,“Kami tidak memberi jawatan kepada sesiapa yang memintanya”. Seseorang yang memegang jawatan bermakna dia telah memegang amanah dan ini merupakan adalah suatu perkara yang amat dipandang berat di sisi Islam. Seseorang yang EGO pastinya akan merasa ‘panas’ jika namanya tidak naik menjadi pimpinan walhal sebelum ini dia telah banyak ditaklifkan dengan pelbagai jawatan yang lebih besar daripada itu. Dia akan menganggap seolah-olah kemampuannya tidak dihargai oleh mana-mana pihak sedangkan dia menganggap reputasinya lebih baik daripada orang lain.

(3). Jika dia seorang ketua, dia selalu bersikap kasar ketika memberi arahan kepada orang lain

Ketua seharusnya bersifat memimpin ahli yang berada dibawahnya. Ahli dibawah akan dipimpin dengan baik supaya matlamat sesebuah tanzim itu tidak tersasar dan segala gerak kerja dapatlah dilaksanakan dengan sempurna. Jika ahli bawahan ada melakukan kesalahan, maka seharusnya seorang ketua itu menegur dengan cara yang berhikmah sebaliknya sikap ini membawa kepada menzalimi orang lain dengan menggunakan kuasanya yang ada. Dia akan menggunakan kuasa di tangan sebagai peluang untuk menindas atau mendatangkan kesusahan kepada orang lain.

(4). Jika dia orang bawahan, dia susah untuk taat kepada ketuanya dan bersikap degil

Andainya roda pusingan kehidupan menjadikan gilirannya pula berada di bawah atau menjadi pengikut, ketika itu dia akan menjadi orang yang paling sukar untuk taat setia kepada pihak atasannya. Egonya itu membuatkan dia menjadi amat sukar untuk tunduk kepada peraturan dan perintah ketuanya. Sifat tersebut wujud apatah lagi jika sebelum ini merupakan seorang yang hebat kononnya tempatnya sebelum ini. Dia merasakan dia itu lebih ‘senior’ dalam segala aspek samada dari sudut umur, pengalaman, dan ilmunya berbanding dengan ketuanya yang muda daripadanya dalam aspek tadi.

Ulama yang beramal dalam medan harakah pernah menyebut, tiga golongan manusia yang payah untuk taat :-
  • Orang yang banyak umurnya (lebih senior) ;
  • Orang yang banyak pengalamannya ;
  • Orang yang banyak ilmunya (banyak ilmu tetapi tidak berakhlak).
Ketaatan hanya akan lahir daripada sifat thiqah sesama sendiri antara pimpinan dan ahli yang kedua-duanya memegang taklifan masing-masing dengan penuh ikhlas dalam semua keadaan walaupun dalam perkara yang tidak disukainya (selagi ia tidak bercanggah dengan syara’).

(5). Mudah marah bila dinasihati dan tidak mahu menerima dari orang atau pihak lain

Seolah-olah merasa rendah atau tercabar atau terhina andainya kebenaran itu keluar dari mulut orang lain. Lebih-lebih lagi sekiranya sesuatu yang benar itu datangnya daripada orang bawahannya atau orang yang dianggap status sosialnya lebih rendah. Teguran yang diberikan oleh pihak lain bukan sahaja tidak dapat diterima.

(6). Emosional dan mudah tersinggung

Tidak boleh ditegur atau tidak mahu menerima teguran. Teguran boleh menyebabkan dia sakit hati malah timbul dendam terhadap orang yang menegurnya. Islam adalah agama nasihat. Sesiapa sahaja pasti dia itu tidak terlepas dari serba kekurangan dan melakukan kesilapan. Demikianlah betapa pentingnya peranan wujudnya nasihat dan teguran daripada pihak lain kepada dirinya untuk kemaslahatan bersama. Seharusnya teguran itu diterima dengan hati yang ikhlas terbuka. Soal perkara itu benar atau tidak adalah perkara kedua. Ciri orang beriman itu sendiri adalah saling memberi peringatan dan teguran kepada orang lain tidak kiralah siapa atau apapun pangkatnya. Setiap peringatan itu memberikan manfaat yang besar kepada orang yang beriman dan jika ianya tidak dapat dijadikan manfaat sudah pastinya dia itu tidak tergolong dalam ciri orang yang beriman.

(7). Suka dipuji

Sangat suka dipuji malah sentiasa menunggu-nunggu sahaja akan pujian orang kepadanya (ketagih pujian). Apatah lagi jika dia itu dipuji di khayalak ramai dan sudah pastinya dia dirinya itu dipandang tinggi oleh pihak lain. Para Sahabat RA dahulu jika dia dipuji oleh seseorang, maka dia akan membaling capal, pasir atau batu kepada orang yang memujinya kerana bagi mereka ianya boleh menyebabkan amalan mereka ‘hangus’ dengan sifat riya’. Berlainan sekali dengan seseorang yang berikap EGO. Jika dia mendengar pujian terhadap orang lain di hadapannya maka timbul sakit hati kepada orang yang memuji itu dan sakit hati kepada orang yang dipujinya.

(8). Sangat suka berbahas (mencari musuh untuk melakukan perdebatan)

Dalam perbahasan pula sering meninggikan suara. Berbahas pula bukan hendak mencari kebenaran tetapi hendakkan kemenangan. Tujuannya untuk menunjukkan bahawa dia itu lebih hebat daripada pihak lain. Hujah pihak lain akan ditolak mentah-mentah dan baginya hujahnya sahajalah yang betul. Yang penting baginya sudah ada kepuasan dengan mewujudkan suasana ‘panas’ dalam perbahasan demi menunjukkan dia itu petah berbahas dan berhujah.

(9). Memilih kawan di kalangan orang bawahan dengan tujuan tertentu

Tujuan dipilih kawan di kalangan orang bawahan adalah supaya dia itu merasakan dirinya mempunyai kelebihan berbanding dengan yang lain. Isi perbualan atau percakapannya sering saja melebihkan diri biarpun dalam nada tutur kata yang lunak. Apatah lagi bila ada peluang bercakap besar dan lantang. Dengan tujuan demikian, dia menganggap bahawa tiada siapa yang dapat menandingi percakapannya dan pandangannya diterima oleh orang lain.

(10). Menonjolkan diri secara berlebihan

Isi perbualan atau percakapannya sering saja melebihkan diri biarpun dalam nada tutur kata yang lunak. Apatah lagi bila ada peluang bercakap besar dan lantang. Ini kerana dia berbangga dengan taklifan yang pernah disandangnya. Jika dia menjadi orang nombor dua (2) sekalipun, penampilannya akan melebihi ketuanya dan orang-orang yang lain. Sudah pastinya orang lain akan menganggap bahawa mereka memiliki individu yang cukup berpotensi untuk menggantikan jawatan ketuanya pada masa yang akan datang.

(11). Memperlekehkan orang lain

Sikap memperlekehkan orang lain juga tidak akan wujud pada diri individu yang meraakan dirinya memiliki kekurangan dan kelemahan namun perkara yang sebaliknya berlaku kepada mereka yang EGO. Setiap sifat kekurangan yang wujud pada orang lain akan diperlekehkan seolah-olah mahu menunjukkan bahawa dirinya itu lebih baik dan sempurna berbanding dengan lainnya. Orang yang merendah-rendahkan orang lain tergolongan dalam golongan yang fasiq dan seterusnya membawa kepada perbuatan zalim jika tidak bertaubat. Allah mengecam golongan ini sepertimana di dalam firman-Nya yang bermaksud,“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasiq (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiqnya) maka merekalah orang-orang yang zalim” (Surah Al Hujurat:11)

(12). Suka menyampuk perbualan orang lain

Ketika pihak lain memberikan pandangan, amat mudah bagi orang yang EGO itu untuk mencelah dan menyampuk mengikut kehendaknya dengan membelakangkan adab-adab dalam bermesyuarat. Tanpa rasa bertanggunggjawab dan rasa menghormati pandangan pihak lain, dia mudah untuk memintas mana-mana percakapan yang dia rasa tidak bersetuju dengannya seterusnya menyebabkan pandangannya itu mendominasi perbincangan tersebut dan timbul rasa kurang senang dari pihak lain.

(13). Berburuk sangka terhadap orang lain

Sikap buruk sangka merupakan dosa yang amat besar dan kerananya boleh membawa kepada tajasus (mencari-cari kesalahan) dan ghibah (umpatan). Hal ini Allah telah dijelaskan di dalam surah Al Hujurat akan bibit-bibit yang membawa kepada buruk sangka. Firman Allah bermaksud,"Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani” (Surah Al Hujurat:12)

Demikianlah bahayanya berburuk sangka kepada orang lain. Perkara sedemikian tidak disedari oleh golongan yang EGO yang lebih suka berburuk sangka apatah lagi jika kepada seseorang itu tidak dapat memenuhi tuntutannya.

(14). Suka meninggikan suara ketika bercakap

“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya” (Surah Al Hujurat:2)

Al ‘ibrah bi’umumil lafdzi la bikhusus as sabab - menunjukkan bahawa sesuatu perintah itu adalah bersifat umum walaupun ia menunjukkan sebab yang khusus. Demikianlah juga dengan maksud firman Allah di atas. Larangan meninggikan suara bukanlah semata-mata dikhususkan kepada Rasulullah SAW tetapi ianya mengajar kita sebagai umatnya akan adab dan akhlak ketika berbicara dengan seseorang apatah lagi jika seseorang itu memiliki kedudukan.

Orang yang EGO akan apabila membicarakan sesuatu perkara, maka dia akan berusaha untuk meninggikan suaranya melebihi kadar yang sepatutnya dan dengan demikian seolah-olah tiada siapa yang berani mencabarnya. Nada percakapannya akan menjadi semakin tinggi apabila dia melihat pihak lain mendengar dengan khusyuk dan menghayati percakapannya. - TARBAWI


Dipetik dari : Laman Tarbawi Akademik Tarbiyah DPPP

Saturday, September 24, 2011

Burned Biscuits


When I was a kid,
my mom liked to make breakfast food for dinner
every now and then.

And I remember one night
in particular when she had made breakfast
after a long,
hard day at work.

On that evening so long ago,
my mom placed a plate of eggs,
sausage,
and extremely burned biscuits
in front of my dad.



I remember waiting to see
if anyone noticed!

Yet all my dad did was reach for his Biscuit,
smile at my mom
and ask me how my day was at school.

I don't remember what I told him that night,
but I do remember
hearing my mom apologize to my dad
for burning the biscuits.

And I'll never forget what he said:
"Honey, I love burned biscuits."

Later that night,
I went to kiss Daddy good night
and I asked him if he really liked his biscuits burned.

He wrapped me in his arms and said,
"Your momma put in a long hard day at work today
and she's real tired.
And besides... a burnt biscuit never hurt anyone!"

You know, life is full of imperfect things...
and imperfect people.

I'm not the best at hardly anything,
and I forget birthdays and anniversaries
just like everyone else.

What I've learned over the years
is that learning to accept each others faults
and choosing to celebrate each others differences,
is one of the most important keys to creating a healthy,
growing,
and lasting relationship.

So...please pass me a biscuit.
And yes, the burned one will do just fine!





p/s : Berlapang dadalah sentiasa dengan apa jua keadaan dan atas kelemahan org lain.

Thursday, September 22, 2011

Milik siapa?


Srikandi Itu Milik Siapa?



Tulisan ini khusus ku coret buat seluruh srikandi gerakan Islam 

Srikandiku sayang,
Kita mengenali erti perjuangan ini
Menjadikan diri teguh umpama besi
Seorang srikandi itu mampu mengorak langkah seribu kali

Namun wahai srikandi,
Dalam menelusuri liku-liku perjuangan ini
Semakin kita sedari usia kini menjadi persoalan diri
Syukur kepada Ilahi kita masih tetap di jalan ini
Lumrah dan fitrah wanita tercipta bersama mujahid mengetuai
Walau ujian cinta asing kerap hadir di sisi
Pilihan keluarga tidak kurang memberi isyarat diri

Srikandi pilihan ilahi,
Seorang srikandi yang tidak kenal erti susah
Walau diri bukan pilihan seorang khalifah
Walau kita merasa tiada siapa kisah
Yakinilah...
Kerana kita pilihan Allah

Srikandiku sayang,
Biar kadangkala kita bertanya pada diri
Milik siapakah aku ini?
Jadilah seorang srikandi yang tidak ternilai
Seorang srikandi yang ibarat permata suci

La takhaf wa la tahzan,
Suatu harta yang tidak ternilai
Ibarat khazanah di dasar laut yang tersembunyi
Hanya mampu dimiliki oleh yang mampu menyelami
Sedarilah bahawa sesungguhnya
Engkaulah permata itu

Srikandi yang ku kasihi,
Seorang srikandi adalah seorang muharrikah,
Muharrikah mempamer Islam dalam setiap langkah
Senangilah kerana kita dipilih ilahi sebagai muharrikah!

~ Semoga kita tetap dan teguh dalam jalan dakwah ini, menjadi Srikandi Islam sehingga akhir hayat ~ 



Wednesday, September 21, 2011

Jika masih ada malu...

Bismillahirrahmanirrahim..



Menjadi seorang wanita adalah satu anugerah, dan lebih berharga apabila kita adalah wanita muslimah.


Sejak dari zaman jahiliyyah, wanita adalah tiada nilaian bahkan hanya dijadikan alat untuk memuaskan nafsu oleh kebanyakan lelaki.


Kedatangan Islam memberi sinar cahaya dan mengangkat tinggi martabat seorang wanita sehingga ke taraf seperti seorang Ratu.


Mengapa dianggap seperti Ratu?


Seorang Ratu tidak sewenangnya bergaul dengan lelaki asing bahkan tatacara hidupnya sangat dipelihara kerana kemuliaannya dijaga dan dipelihara.


Seorang Ratu akan sentiasa menjaga akhlak peribadi dirinya kerana dia seorang yang mulia.


Apatah lagi untuk seorang wanita islam, daripada tiada nilaian sehingga menjadi tidak ternilai harganya tatkala Islam mengangkat darjat dirinya.


Namun begitu sayang kerana wanita islam kini malu beridentitikan Islam. Kenapa?


Apakah yang membezakan wanita Islam dan bukan Islam?


Seorang wanita Islam itu memelihara aurat dirinya, tidak membiarkan mana-mana anggota badannya terdedah di mata-mata kaum Adam.


Namun kini, tiada beza dengan wanita bukan Islam kerana lambakan wanita Islam memakai baju tetapi TIDAK menutupi kerana bentuk tubuh badan tetap terpamer indah...


Mengenakan tudung namun, tidak menutupi hingga ke paras dada, ditambah dengan baju-baju yang sering tersilap saiz lagaknya. Saat nilai harga seorang wanita Islam itu musnah apabila Allah mencabut malu daripada dirinya. 
Kerana istimewanya seorang wanita itu adalah pada sifat malunya, itulah yang menjadikan seorang wanita itu
mahal pada nilaiannya.


Jika masih ada  malu,
Seorang wanita Islam tidak akan memilih pakaian 
yang akan mempersembahkan bentuk tubuh badannya.
Kerana dia tahu, ia sangat bernilai dan begitu mahal sehingga tidak layak sesiapa menontonnya.
Kerana dia malu pada yang menciptakannya..


Jika masih ada malu,
Seorang wanita Islam tidak akan menyarung pakaian yang tipis,
Kerana dia tahu, dia adalah fitnah terbesar di akhir zaman.
Kerana dia tidak mahu menghadiahkan dosa kepada kaum adam.
Kerana dia malu pada yang memberikannya nikmat kehidupan..


Jika masih ada malu,
Seorang wanita Islam tidak akan membenarkan mana-mana lelaki menyentuhnya,
Walaupun hatinya.. kerana dia bukan perempuan murahan.
Kerana dia tercipta beserta pasangan, maka hanya yang halal berhak ke atasnya.


Masih wujudkah wanita Islam yang masih tidak malu beridentitikan ISLAM? Kita tidak malu untuk berbuat jahat tetapi kita begitu malu untuk berbuat baik apatah lagi menjalankan perintahNya.


Bersamalah kita menuju ke arah ini. Kita bukan wanita biasa bahkan kita wanita Islam.


Kembalikanlah posisi malu dalam diri agar kita lebih terpuji dan disayangi ilahi.

Followers