Monday, April 19, 2010

Tanggungjawab seorang LELAKI kepada WANITA

Assalamualaikum kepada umat Islam semua...

Mengenang kembali peristiwa di Arafah, pada tanggal 9 Dzulhijjah tahun 10 Hijrah iaitu sebelum kewafatan Rasulullah s.a.w, salah satu wasiat baginda yang disampaikan melalui khutbah Wida' kepada sekalian umat Islam, iaitu agar kita mengawasi dan memelihara kaum wanita sebagai satu amanah. Tugas dan tanggungjawab ini, ditujukan khusus kepada kaum lelaki yang berperanan sebagai suami, bapa, abang atau adik dan umumnya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Ini dijelaskan sebagaimana petikan sabda baginda s.a.w yang bermaksud:

"Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan wanita, kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah." (R. Muslim)

Asas kejadian kaum lelaki, dikurniakan oleh Allah dengan kekuatan fizikal, mempunyai pemikiran yang matang dan beberapa kelebihan lain. Sebaliknya kaum wanita diciptakan dengan sifat yang lemah lembut, pemalu dan tidak agresif. Dari mereka lebih banyak dipengaruhi emosi dan sebagainya. Maka sewajarnya kaum lelaki diberi tugas dan tanggungjawab memikul amanah menjadi ketua atau pemimpin yang mengawal serta memberi perlindungan kepada kaum wanita.

Firman Allah:

Yang bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka. (Surah an-Nisa'": 34)



Sebagai ketua dalam negara, pemimpin dalam masyarakat, suami kepada isteri, bapa kepada anak-anak atau sebagainya, kaum lelaki seharusnya memahami hak-hak serta tuntutan kaum wanita dan sepatutnya menjadi kewajipan bagi kaum lelaki memperjuang serta membela nasib kaum wanita apabila mereka teraniaya.

Sirah Rasulullah s.a.w telah membuktikan bahawa baginda merupakan pembela kaum wanita yang terulung. Baginda bukan sahaja membawa risalah Islam yang sempurna, bahkan baginda telah berjaya membebaskan kaum wanita dari cengkaman adat jahiliyah serta meletakkan kedudukan mereka ke suatu taraf yang begitu mulia.

Walaupun Islam telah mengangkat serta mengiktiraf kedudukan wanita, namun masih terdapat sesetengah pihak yang memandang remeh akan hal ini dan menjadikan kaum wanita mangsa diskriminasi. Pandangan kaum wanita yang menyentuh kepentingan diri mereka sendiri kadang kala tidak begitu diambil perhatian. Ini menyebabkan hak atau kepentingan mereka terhakis. setiap keputusan, dasar, peraturan atau undang-undang yang hendak diperkenalkan lebih diasaskan kepada fahaman dan kacamata lelaki tanpa memikirkan implikasi yang bakal menimpa kaum wanita. Jika keadaan ini yang berlaku, maka sudah tentu kaum wanita terus teraniaya dan mereka tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Samada kita sedari ataupun tidak, sejak dahulu lagi terdapat segelintir manusia yang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan kaum Hawa dengan mengeksploitasi rupa paras mereka untuk hiburan yang melalaikan dan melayan hawa nafsu semata-mata. Di samping itu juga, ada segelintir wanita yang merelakan diri mereka dieksploitasi dan menjadi bahan iklan yang mengaibkan. Keadaan ini pula akan membuka peluang lelaki-lelaki yang buas, mencemar serta meragut kehormatan seorang wanita.

Saban hari kita mendengar berita penganiayaan dan keganasan terhadap kaum wanita. Dan jika kita perhatikan juga, penganiayaan terhadap kaum wanita ini berlaku di mana-mana. Banyak kes-kes jenayah kekeluargaan yang berlaku seperti penderaan, perceraian, pengabaian nafkah dan sebagainya. Bahkan lebih menakutkan lagi, mutakhir ini, begitu banyak kes sumbang mahram yang dilaporkan yang mana kesemua mangsa sudah tentu adalah terdiri daripada wanita. Keadaan ini terjadi adalah disebabkan kaum lelaki tidak tidak mempunyai ilmu pengetahuan. Hati mereka jauh daripada mengingati Allah dan tiada kesedaran dalam memikul amanah. Jenis manusia inilah yang menjadi perosak kepada kaum wanita dan masyarakat seluruhnya.

Punca permasalahan ini berlaku adalah disebabkan oleh penganiayaan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Kewajipan seorang lelaki, selain memelihara dan melindungi hak-hak kaum wanita, ia juga berkewajipan membimbing kaum wanita yang lebih banyak dipengaruhi oleh emosi dan tekanan perasaan.

Sebuah hadis yang menjelaskan tentang kewajipan membimbing kaum wanita:

Maksudnya: "Sesungguhnya seorang wanita itu diumpamakan seperti tulang rusuk yang bengkok. Apabila engkau berkeras (hendak meluruskannya), ia akan patah, dan sekiranya engkau membiarkannya, maka ia akan terus bengkok." (R. Muslim)

Dalam mendidik wanita, kita tidak boleh mendidik mereka dengan cara yang terlalu keras, kerana ia tidak sesuai dengan fitrah semulajadinya yang lemah lembut, kerana ini tidak akan memberi apa-apa kesan pendidikan. sebaik-baiknya, mereka ini dididik dengan cara yang hikmah, tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras. Pendidikan dengan cara yang penuh hikmah, akan berjaya membentuk wanita-wanita yang solehah. Kita yakin bahawa wanita yang terdidik dengan ilmu di atas landasan iman dan taqwa, mereka ini akan sentiasa menjaga serta menghargai kehormatan dan hak mereka selaras dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya. Kegagalan kita mendidik kaum wanita adalah punca sebenar mereka melakukan tindakan yang salah.

Kaum lelaki yang fitrah kejadiannya sebagai ketua atau pemimpin, seharusnya berperanan mendominasikan pembentukan peribadi wanita yang mulia dan terpuji, sentiasa memberi dorongan melakukan tindakan yang betul dan dapat membezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Justeru tanggungjawab berat yang diamanahkan ini, kaum lelaki perlu mempersiapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang secukupkan untuk menjadi contoh teladan kepada kaum wanita yang di bawah tanggungannya. Islam sekali-kali melarang keras kaum lelaki daripada menyalahgunakan amanah yang dipertanggungjawabkan ini.

Bagi memenuhi tugas yang dipertanggungjawabkan, iaitu memelihara wanita sebagai amanah, samada isteri kita, anak-anak, adik-beradik, ibu atau wanita yang di bawah jagaan kita, marilah sama-sama kita menjadi pelindung dan pemelihara kaum wanita. Dan kita yakin bahawa hanya orang yang benar-benar beriman sahaja yang mampu memikul amanah ini. Iman yang sempurna akan mendorong kita melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. Oleh itu seseorang yang tidak menyempurnakan tanggungjawabnya dalam memelihara hak, bererti tidak sempurna iman mereka.



Begitu pun Islam menggariskan bahawa golongan wanita itu dipimpin oleh kaum lelaki, ini tidak bermaksud merendahkan status atau harga diri seorang wanita, bahkan sebenarnya ini adalah menepati 'Sunnatullah' yang kuat menjadi pelindung, dan yang lemah dilindungi. Ukuran yang menentukan tingginya martabat seseorang itu di sisi Allah ialah ukuran amal dan taqwanya sebagaimana dijelaskan firman Allah:

Maksudnya:( Wahai umat manusia! sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha mendalam PengetahuanNya). (Surah al-Hujarat: 13)

Waallahu'alam... Wassalam..

Sumber :www.diarimujahidah88.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Followers