Sunday, October 30, 2011

Nilaian UKHUWWAH

" Kami datang dari semua sudut bumi,
untuk menjadi gelas kosong,
yang siap diisi "

petikan dari "Negeri 5 Menara"


Saat saya membaca lembaran pertama buku " Negeri 5 Menara " ini, saya sudah terpaut dengan sorotannya. Alhamdulillah, sangat banyak intipati tarbiyah serta nilaian ukhuwwah yang digarap sehingga mampu untuk saya terus kan kepada helaian demi helaian seterusnya. Namun posting kali ini bukan menceritakan mutiara-mutiara yang saya peroleh dari buku tersebut. InsyaAllah untuk itu juga akan saya post pd artikel akan datang.

Ukhuwwah yang didasari AQIDAH


UKHUWWAH

Apa yang saya maksudkan dengan 3 rangkap pertama di atas adalah ibarat kami sendiri, datang dan bertemu dari sudut bumi yang berbeza dan kita tidak kenal sebelum ini. Kita bertemu dan mengenali erti tarbiyyah dan tadhiyyah iaitu pengorbanan. Kita ibarat gelas kosong yang sedia untuk di isi, di isi dengan garapan tarbiyah dan fikrah islamiyah sehingga akhirnya hati-hati ini mampu terikat dengan utuh harapnya atas satu dasar. Iaitu dasar aqidah yang satu. 

Ukhuwwah Islamiyyah yang dirasai ini bukanlah suatu yang istimewa tanpa sebuah perjuangan. Dalam medan juang ini, seringkali kita jatuh dan bangun semula dengan sokongan dan dorongan sahabat-sahabat yang disayangi kerana Allah. Namun, apakah nilaian ukhuwwah itu?

Jika benar kita saling menyayangi kerana Allah, 
Adakah kita sudi ditegur dan menegur?
Adakah kita sedia menerima kebenaran walaupun pahit untuk ditelan?
Adakah kita sedia menampung kelemahan sahabat agar saling melengkapi?
Adakah kita sedia memaafkan dan berlapang dada?
Adakah kita sanggup bersama saat susah dan senang?


" Ukhuwwah bukan hanya di bibir, tetapi di hati "

Realiti vs Fantasi

Kehidupan seorang pelajar di universiti mahupun di sekolah sangat banyak diluangkan dengan sahabat-sahabatnya berbanding keluarga. Siapa sahabat kita hari ini sebenarnya banyak mempengaruhi siapa kita kelak. Kerana itu hadis Rasulullah SAW, jika bersahabat dengan pembuat besi, maka kita turut terkena percikan api, siapa yang bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita turut terkena wangiannya.

Realiti dalam dunia abnaul harakah, kekuatan sebuah ukhuwwah sangat penting. Berapa ramai yang tidak mampu benar-benar memahami ukhuwwah dalam Islam dan akhirnya kecundang dari jalan-jalan dakwah yang penuh rintangan. Kita boleh mengimpikan sebuah persahabatan yang indah-indah ibarat di alam fantasi, namun begitu pula kita sendiri perlu menjadi seideal mungkin.

Sahabat sejati dunia akhirat

KERANA ALLAH

Bukan ingin memberikan tips mahupun tunjuk ajar, kerana diri ini bukanlah selayaknya namun cuma sekadar memberikan sedikit perkongsian buat persahabatan kita.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Mulk ayat 23,
" Katakanlah, " Dialah yang menciptakan kamu dan menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati nurani. (Tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur. "
Abanul harakah adalah manusia, dan manusia tidak sempurna. Maka sangat berkehendak kepada nasihat dan teguran supaya boleh menjadi lebih baik dari masa ke semasa.

Atas nama cinta,
Kita bertemu dan mengikat ribatul ukhuwwah,
Ukhuwwah yang dibina kerana Allah

Atas nama cinta,
Setiap ikhwah adalah sahabat yang perlu diperhati,
Kasih sayang disebar buat semua tanpa rasa ingin dipeduli,
Kerana kita tahu ada Allah yang setia untuk peduli

Atas nama cinta,
Kita berjanji untuk sedia ditarbiyah,
Kita berjanji untuk sedia menerima arahan,
Kita berjanji untuk sedia di susun atur

Namun,
Bila diberi teguran dan ketukan pada hati,
Kita tidak sudi bahkan memungkiri janji,
Bukankah itu satu proses tarbiyah diri?

Atas cinta ilahi,
Tashih kembali niat diri agar tidak tersasar dari jalanNya,
Kasihilah kesemua sahabat seperjuangan ini seadilnya,
Hati ini di didik oleh tuannya.

Bagaimana tuannya, begitulah hatinya
Sekiranya tuannya bersikap pentingkan diri,
Maka begitulah hatinya.

AZAM SAHABAT

Dalam rukun ukhuwwah, kita sedia maklum. Agar berlapang dada, kesamarataan, dan melebihkan sahabat. Maka berazamlah agar kita memenuhi rukun-rukun itu, kerana syarat sah rukun adalah apabila kesemuanya dipenuhi. Memang bukan berdosa tetapi inilah satu proses tarbiyyah dan tadhiyyah diri agar jalan juang ini mampu kita redahi. InsyaAllah, mudah-mudahan istiqamah di jalanNya!





    

Sunday, October 16, 2011

Wanita Makhluk Emosi

MAKHLUK CIPTAAN ILAHI


Alhamdulillah masih diberi nikmat IMAN dan ISLAM sehingga ke saat ini. Saat saya menulis topik ini, saya menulis dari hati berpandukan kebijaksanaan aqal milik Ilahi. Mudah-mudahan dihindarkan dari sebarang su'uzzhon iaitu buruk sangka dalam kalangan pembaca.

Membaca dan menulis adalah suatu therapy yang sangat sinonim dengan diri ini, dipersilakan dan digalakkan untuk menilai dan memberi komentar. Semoga dapat bertambah manfaat buat diri dan semua, insyaAllah semoga kelak mampu menghasilkan tinta setajam kalam Syed Qutb.

WANITA MAKHLUK EMOSI?

Mungkin bagi sebilangan pembaca wanita merasakan tidak adil statement ini, namun hakikatnya ini adalah realiti. Dan setiap yang diciptakanNya terkandung 1001 hikmah dan kebaikan. Sabda Rasulullah SAW,

" Berwasiatlah (memberi pesanan dan tunjuk ajar secara berhikmah) kalian kepada para wanita kerana mereka itu diciptakan dari tulang rusuk, dan bahagian yang paling bengkok dari tulang rusuk adalah bahagian paling atas. Bila engkau paksakan untuk meluruskan maka engkau akan mematahkannya. Namun bila engkau biarkan begitu sahaja, maka ia akan terus membengkok. Maka berwasiatlah kalian kepada wanita. "

Sememangnya bukan mudah untuk memimpin dan mendidik seorang mahkluk emosi, adakala menyebabkan seorang lelaki gagal mengerti apa yang ada dalam diri seorang wanita itu. Namun begitu, inilah satu keseimbangan yang Allah ciptakan kerana prinsip dalam kehidupan ini adalah berpasang-pasangan. Semua yang diciptakanNya adalah berpasangan. Dia menciptakan seorang lelaki sebagai makhluk rasional, dan ini diseimbangkan dengan sifat emosi dalam diri seorang wanita.

HASSAN AL-BASRI DAN RABIATUL ADAWIYAH

Saat Imam Hassal Al-Basri bersama temannya bertandang ke rumah Rabiatul Adawiyah, dengan bertujuan meminangnya untuk salah seorang dari mereka. Syarat yang diberikan oleh Rabia'ah adalah dia akan memberikan jawapan setuju atau tidak jika soalannya terjawab. Lalu beliau bertanyakan berapakah nafsu bagi lelaki dan berapakah nafsu bagi wanita?

Hassan Al-Basri menjawab,

Lelaki mempunyai satu nafsu, manakala wanita mempunyai 9 nafsu.
Rabiatul Adawiyah tersenyum lalu berkata, jika begitu mengapakah kau tidak dapat menahan nafsumu walaupun hanya mempunyai satu nafsu sahaja sedangkan aku mampu menahan nafsuku yang sebanyak sembilan nafsu.

Mendengarkan ucapan ini, seraya Hassan Al-Basri dan temannya berasa sangat sedih dan teresak kesedihan dan segera meminta izin pulang.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Melalui hadis serta pengkisahan di atas, maka kita dapat melihat terdapat dua sudut pandang berbeza dan keperluan yang melengkapi antara 2 jantina ini. Atas sebab itu, Rasulullah nisbahkan wanita dengan tulang rusuk yang bengkok kerana susah untuk dipelihara namun sangat berharga dalam anatomy kejadian manusia. Dan kerana itu juga Imam Al-Ghazali menukilkan nisbah nafsu ini. Maka atas sebab itu, wanita istimewanya kerana sifat emosional nya. Begitu juga kaum lelaki, istimewanya sehingga diangkat sebagai ketua kerana pakej rasional yang dimilikinya.

BAGAIMANA MENGHADAPI MAKHLUK EMOSI INI?

Interaksi antara kedua-dua gender ini berlaku pada setiap saat, masa, dan diperlukan untuk kebanyakan urusan seharian samada rasmi mahupun tidak rasmi. Sama sebagai pasangan suami isteri mahupun sebagai pasangan dalam merencanakan gerak kerja dalam sebuah organisasi. Dalam sebuah organisasi, pasti ada nakhoda dan pembantu, begitulah seterusnya. Dari sebesar-besar jawatan hinggalah sekecil-kecil jawatan.

Seorang wanita yang sempurna akan memastikan apa yang ada di sekelilingnya di jaga rapi dan terpelihara, inilah keistimewaan emosional dan sensitivity seorang wanita. Manakala bagi seorang lelaki yang rasional akan melihat banyak lagi perkara yang perlu difikirkan untuk masa mendatang, satu bentuk perancangan dan tindakan yang lebih besar. Maka apabila berlaku pertembungan antara dua perkara ini, menimbulkan salah faham.

Apabila berlaku salah faham, makhluk emosi sudah pasti akan lebih memendam rasa tetapi sebaliknya bagi makhluk rasional iaitu seorang lelaki sangat bijak mengawal emosi diri. bahkan seolah-olah tiada apa yang terjadi. Statistik yang dikeluarkan oleh Star Online Study July membuat kajian terhadap wanita seluruh dunia, dan wanita di Malaysia menduduki tangga ke-16 paling stress dalam dunia. Antara sebabnya adalah faktor perhubungan, ekonomi, salah faham dan sebagainya.

Untuk mengatasi masalah ini, kita rujuk semula apa yang dikatakan baginda.

" Mukmin yang paling sempurna iman adalah yang paling baik akhlak antara mereka. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya. "

Penerangan ringkas di atas memang dinukilkan hubungan suami isteri, namun ia sebenarnya adalah suatu penerangan umum bagaimana lelaki yang baik melayani wanita yang bekerja dengannya dengan sebaiknya. Maka dengan ini, akan saling menjaga maruah diri, cubalah aplikasikan dalam urusan kita seharian.

Bukan bermakna seorang wanita itu menyusahkan tetapi sesungguhnya sedarilah banyak nisbah pahala Allah kirimkan melalui seorang wanita itu.

UNTUK MAKHLUK RASIONAL

- Cubalah tanamkan sedikit demi sedikit sifat sensitif dalam diri untuk perkara-perkara yang berlaku di sekeliling anda. Memang sensitivity, namun sering melihat apa yang tidak dimiliki sedangkan yang dimiliki jarang dihargai.
- Seimbangkan keadilan anda pada semua makhluk emosi tidak kira samada bekerja bersama anda mahupun mereka yang di luar anda kira perlu perhatian anda.
- Jagalah tutur kata dan setiap tindakan, siapa kita sekarang mencerminkan siapa kata akan datang.
- Seorang wanita itu akan cuba sedaya upaya menjadi keras di hadapan anda, walaupun dia rapuh sebenarnya...

  
 BUAT MAKHLUK EMOSI

- Kawallah emosi kurniaan Ilahi dengan IMAN yang padu, jangan kita risaukan adam yang memberikan rusuk mereka buat kita
- Jadilah seorang yang kukuh baik dalam mahupun luaran kita
- Dalam apa jua keadaan pun, senantiasalah kita cuba untuk berfikiran positif
- Contohilah srikandi-srikandi terdahulu
- Jadilah seorang yang memudahkan bila berurusan.
- Biar tiada siapa yang ingin memahami, sedarilah kita punyai ALLAH di sisi..



Semoga Allah membuka pintu hati kita agar menjadi bermanfaat di mana sahaja kita diletakkan, bersama siapa pun kita berurusan. Jazakumullah!

Monday, October 10, 2011

Fall in Love


Alhamdulillah masih diberi ruang dan peluang untuk terus menitipkan kata-kata, semoga setiap yang tertulis ini terkandung hikmah dan mendamaikan bagi sesiapa yang membaca.

What Do You Think About Love?

Saja saya memilih topik ini, bukan kerana jiwang tetapi hanya sekadar sebuah perkongsian. Siapa sahaja di dunia ini pasti mempunyai pandangan tersendiri tentang cinta. Dan fitrah ilahi diciptakan rasa cinta dalam diri setiap hambaNya. Cuma bagaimana kita sebagai hambaNya memelihara cinta yang hidup dalam diri. Jika kita bertanya pada seorang lelaki tentang cinta, dia akan merasakan cinta itu buat insan yang bergelar wanita. Jika kita bertanya kepada seorang wanita mengenai cinta, dia akan membayangkan cinta buat kekasih hati.

Kerana jarang sekali antara kita, bila bertemu persoalan tentang cinta, kita akan berbalik kepada Pencipta Cinta, iaitu Allah SWT. Kerana itu benar kata pepatah bahawa cinta itu buta, mudah untuk jatuh cinta pada hamba-hamba yang diciptakanNya seolah-olah begitu besar cinta itu buatnya. Namun begitu sukar sekali untuk melampiaskan rindu, kasih dan cinta pada Tuhan Maha Agung pencipta cinta.

Setia Menunggu

Sesungguhnya Dia Maha Suci Allah sentiasa mencintai kita tidak kira apa jua balasan kita padaNya. Dia setia menunggu dalam setiap waktu dan ketika. Walaupun hambaNya hanya mengingati saat terluka, saat ditimpa masalah, saat lemah dengan ujian yang menimpa; namun Allah SWT tidak pernah kecewa dan bosan dengan kita.

“Dan apabila hamba-Ku bertanya mengenai Aku, maka (jawablah) sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia meminta kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah, ayat 186) 

Kita jarang sekali menyedari apa yang dekat dengan kita kerana kita sering ingin menggapai bintang di langit tinggi. Allah SWT tidak pernah meninggalkan kita walau sesaat, sakit kita, pedih kita semua Dia ketahui bahkan Dia juga yang menghadirkan penawarnya. 

Maka pada siapa sewajarnya kepada siapa cinta ini sewajarnya dimiliki?


Hanya UntukMu

Sesungguhnya, mencintai Mu adalah sesuatu yang amat berharga buatku
Biar tiada siapa yang mengerti, 
Sesungguhnya tawa, tangis dan senda ku hanya untukMu.
Terimalah cinta ini ya Ilahi.




Thursday, October 6, 2011

Mampukah aku?

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat dan kurniaanNya yang tidak pernah putus.
Biar pun hamba-hambaNya sering melupakanNya, namun tidak pernah satu saat pun kita terlepas daripada pemeliharaanNya. SubhanaAllah!

Sudah lama saya tidak menulis sebarang buah fikir dalam blog ini, sedangkan menulis adalah salah satu therapy terbaik buat pembentukan jiwa dan fikrah. Harapan agar setiap tulisan yang tercatit ini, bakal menjadi panahan-panahan buat hati yang gersang dari roh Jihad agar kembali pulih dan hidup.

ABNAUL HARAKAH

Saat mendengar perkataan di atas, mungkin ada yang baru pertama kali dengar dan mungkin juga telah muak mendengarnya. Manusia pasti mempunyai pelbagai persepsi dan reaksi. Dan abnaul harakah juga adalah manusia, yang tidak lari dari sebarang persepsi. Menjadi anak-anak gerakan Islam ini, bukanlah suatu penghargaan daripada manusia secara zahirnya. Bahkan, Allah SWT memilih dalam kalangan hamba-hambaNya yang benar-benar ikhlas ingin memperjuangkan deen Allah ini.

Kata Sa'ad Bin Abi Waqqas :

" Aku adalah anak panah Islam, campaklah aku dimana sahaja, akan aku sebarkan Islam ini "

Saat Bin Abi Waqqas adalah salah seorang anak muda yang terawal memeluk agama Islam, setelah Ali Bin Abi Talib. Beliau merupakan seorang anak yang sangat taat dan patuh pada kedua ibu bapanya. Sehinggakan saat baru memeluk Islam, ibunya mengugut tidak makan dan minum sehingga Saad keluar daripada Islam. Namun, itu sedikit pun tidak menggugah imannya bahkan lebih kental menghadapi musibah sehingga akhirnya ibu Saad mengalah dan tidak lagi mengugutnya.

Kita tidak mampu menjadi seteguh itu barangkali, namun bukan bermakna kita perlu mudah tunduk pada masalah yang mendatang. Anggaplah semua yang hadir adalah sebagai rintangan dan dugaan untuk sebuah imbalan yang tak ternilai harganya kelak.

PINTU ITU

Sebagai manusia biasa, kita tidak lari dari sebarang masalah bahkan menjadi luar biasa kerana kita adalah Abnaul Harakah. Bagaimana kita bisa membiarkan jiwa menjadi rapuh?

Sesungguhnya bukan mudah bernafas dalam jiwa hamba
Dalam ribuan bahkan jutaan ummat manusia, kita dipilih untuk bersama-sama bertemu dan melalui pintu itu. Iaitu pintu yang sama dilalui oleh para Nabi dan pejuang-pejuang Islam. Lalu, adakah kita ingin menyesali taqdir ini? Kita bukan memulakan tetapi kita hanya meneruskan perjuangan Baginda. Pun begitu, kita seringkali mengeluh dan adakala berburuk sangka. Sedarilah betapa bertuahnya setiap Abnaul harakah ini, kerana sedia dibimbing dan membimbing. Setiap langkah kita berjuang ikhlas keranaNya, adalah langkah yang mendapat keredhaanNya.

ROH JIHAD

Tiuplah roh jihad ini agar selalu hidup jiwa dan raga kita, jangan biarkan diri hanyut dalam masalah yang tidak akan pernah putus. Kerana hidup ini memang bertujuan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang hadir di sekeliling kita. Biarlah kita kelak mengakhiri hidup dengan hembusan nafas seorang pejuang yang mewakafkan diri buat sebuah perjuangan Islam.


Islam tidak pernah rugi andai kita mahu berpaling dari perjuangan ini, 
Islam sentiasa membuka dan memberi peluang buat semua,
Sama ada mahu membawanya dan bertemu Rabbul I'zzati kelak,
Dalam keadaan manusia yang bernafas dalam jiwa hamba,
Atau hamba yang hanya bertopengkan manusia.





From my bottom heart,
Soldier of Allah ~


Followers