Wednesday, February 1, 2012

31 Januari..

Alhamdulillah masih diberi nikmat iman dan islam, masih diberi pinjaman nafas untuk hidup di bumi Allah ini. Sedar atau tidak, masa terus berlalu meninggalkan kita, dari saat ke minit, dari minit ke jam dan begitulah seterusnya.


DOA dari HATI 



Pada tarikh 31 Januari 1988 dahulu lahirlah seorang puteri sulung dalam sebuah keluarga yang sederhana. Kini usia telah mencecah 24 tahun, terasa masa sangat singkat dan amat pantas berlalu. Saya mengenal perkataan solehah adalah pada usia 15 tahun, dan hingga kini saya masih mencari dan menjejaki erti solehah pada diri. Sungguh, terasa amat jauh sekali!

Apabila semakin meningkat usia, maka semakin dekat diri ini dengan kematian. Sesungguhnya masa yang pergi tidak akan kembali dan yang ada hanya tinggal sesal dan keinsafan. Lama saya merenung apakah sumbangan saya pada Islam sehingga kini? Saya tidak dapat menahan tangisan jika diselak satu persatu rutin kehidupan saya, buah fikir saya, sumbangan tenaga wang ringgit pengorbanan saya untuk Islam.. Sungguh terlalu sedikit.

Ingin sekali saya berkongsi satu puisi yang saya jumpa suatu saat dahulu yang sangat terkesan pada diri saya,

Tetamu istimewa yang bernama usia
bisa menjadikan kau
seorang penghitung yang mahir
dan jurutimbang yang tepat
meskipun pada masa-masa lalu
kau tidak pernah belajar
mengenal angka dan huruf ketakwaan

-Haron A.H, 'Tetamu Istimewa'


Usia akan terus bertambah dan amalan akan terus bercambah samada pahala mahupun dosa, setiap saat dan masa Allah memberikan kita peluang belajar dan menebus kesalahan. Sungguh DIA sangat mencintai hamba-hambaNya. Tetapi bagaimanakah saya membalas seluruh cinta-cintaNya? Astaghfirullahalazhim..

Saya menjumpai tokoh-tokoh Islam yang turut lahir pada bulan yang sama dengan saya..

1. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
2. Syeikh Ahmad Yassin
3. Dr.Asri Zainal Abidin
4. Lin jooi Soon

dan pemuda yang turut banyak menyumbang dalam usia yang masih muda.

5. Hilal Asyraf

Mereka memanfaatkan batang tubuh mereka untuk Islam dalam kapasiti seluasnya mampu dilakukan. Sedang saya belum tahu apakah dan bagaimanakah kelak saat saya di hadapan Sang Pencipta. Maka saya tidak mengharap sebarang hadiah melainkan sepotong doa ini yang saya petik dari Bidadari dari Timur,


Ya Allah Ya Aziz Ya Rahman Ya Rahim
Pengetahuanku pada kemurahan-Mu
Itulah yang memberhentikan aku di pintu-Mu
Bagaimana aku akan kecewa?
Sedangkan Engkaulah harapanku
Bagaimana aku akan hina?
Sedang Kau lah tempat sandaran
Bagaimana aku akan mulia berbangga?
Sedang Engkau menempatkanku dalam lemah dan hina
Bagaimana aku akan miskin?
Padahal Engkau yang mencukupkan
Hidupkanlah hati-hati ini dengan makrifat-Mu
Matikanlah kami sebagai pejuang agama-Mu
Puaskanlah keluargaku dengan aturan-Mu berbanding aturan kami sendiri
Bantulah aku dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin agama-Mu
Ingatkanlah aku,
bahawa aku hanyalah seorang hamba
Supaya tidak lupa
Ya Allah... Perkenankanlah permintaan ini.




ps : Masa depan sukar ditafsir, namun hari ini dan semalam mengajarku bagaimana untuk melangkah ke hadapan dengan lebih baik. InsyaAllah semoga diberkati usia ini..

2 comments:

Followers