Monday, January 30, 2012

Hawa dan Sekeping Hati

Alhamdulillah syukur atas segala nikmat kurniaanNya. Masih diberikan nikmat IMAN dan ISLAM, semoga kekal hingga ke akhir hayat. 

Sudah lama saya tidak menulis kerana kesibukan demi kesibukan yang mendatang. InsyaAllah, antara azam saya bermula selepas ini ingin sekali menajamkan skill tulisan saya agar mampu menyentuh hati-hati madu' yang membaca untuk dekat dengan Islam. Semoga saya mampu menjadi seorang penulis yang baik dan bermanfaat buat ummat manusia.

Artikel ini telah lama ingin saya tulis ,pada saat ini saya hadiahkan khusus buat seluruh muslimat dan mu'minat yang disayangi kerana Allah. Semoga kita menjadi permata yang berharga. Sama-sama kita beristighfar atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan, in sya Allah kita bakal menjadi srikandi Islam yang tegar!

Fitrah seorang Hawa

Seindah perhiasan adalah wanita solehah

" Tercipta dari tulang rusuk lelaki,
Bukan dari kaki untuk dialasi,
Bukan dari kepala untuk dijunjung,
Tapi dekat dibahu untuk dilindungi,
Dekat jua di hati untuk dikasihi... "

Saya yakin dan percaya bait-bait lagu Wanita nyanyian Dehearty ini tidak asing lagi pada kedengaran kita semua. Sifat utama seorang Hawa yang perlu kita semua ketahui adalah sensitiviti yang ada pada dirinya. Fitrah seorang Hawa ingin diperhati, ingin dikasihi, ingin dicintai, mudah peka akan situasi, dan mudah beremosi dan lain-lain lagi. 

Sesungguhnya Allah SWT menciptakan seorang Hawa dengan elemen-elemen sebegini adalah sangat unik dan memperlihatkan akan kebesaran ciptaanNya. Fitrah inilah yang akan menampung kekurangan seorang Adam yang lebih bersifat dominan begitulah juga sebaliknya. Beginilah indahnya percaturanNya terhadap hamba-hambaNya. 

Persoalannya kini bagaimana ingin menampung fitrah ini agar ia di atas landasan yang benar? Sedar atau tidak, fitrah SENSITIVITI yang tinggi dalam diri seorang Hawa ini seringkali gagal ditangani dan menjadikan ia kadangkala rasa terganggu dan perasaan yang tidak sewajarnya. Apabila si Adam terlebih memberikan layanan yang baik, dan si Hawa pula terlebih dalam berperasaan.

Inilah yang akan menjadi virus-virus dalam penyakit hati. Sebagai contoh kes yang saya bawakan.

Kes 1,

Muslimat A dan muslimin B sering berurusan kerana masing-masing ditaklifkan untuk menguruskan suatu program. Dalam berurusan, adakala mereka saling berkongsi masalah sehingga adakalanya melibatkan masalah diri. Muslimin B dengan fitrah seorang gentleman, cuba memberikan perhatian dan penyelasaian yang dirasakan rasional. Pada muslimat A pula merasakan dia diambil berat dan atas SENSITIVITI yang tinggi itu timbul perasaan yang asing dalam diri. 

Kes 2,

Interaksi di antara lelaki dan perempuan seringkali berlaku. Adakalanya pada ayat-ayat yang dituturkan atau pada mesej SMS yang dihantar atau juga pada status FB yang ditulis. Apabila seorang lelaki menghantar mesej yang berbaur gurauan pada anggapannya namun serius pada anggapan seorang wanita. 

" Meeting pada petang ni diawalkan pada jam 2.30 ptg, harap maklum. " Mesej si perempuan.

" Apa? Sekarang dah pkul 2, saya nak pergi makan dulu, saya lambat sikit datang. " Jawab si lelaki.

" Kalau masak awal-awal tadi kan dah senang, oklah jangan lewat sangat datang. " Balas si perempuan.

" Saya tak pandai masak, tak da orang nak masakkan, tunggu orang tu lah masakkan boleh? hehe " Usik si lelaki.

Saat ni, si perempuan akan mula rasa lain dan pasti akan ada berbalas-balas mesej seterusnya... Maka sekali lagi lahirlah virus-virus..

Sebenarnya banyak lagi kes seperti di atas atau dalam bentuk yang berbeza namun akibat yang sama. Sesungguhnya saya menyeru pada diri sendiri dan semua sahabat pembaca agar kita jauhi perkara-perkara sebegini. Apabila kita terperangkap dengan emosi sendiri, ini akan mengganggu gerak kerja. Peganglah hati itu erat-erat agar tidak mudah cair, dan pastikan kita tidak meletakkan diri dalam dilema.


Cahaya Hati


Apabila ada sahabat-sahabat yang berkongsi masalah dalam konteks begini, saya menjadi tidak tegar dan kasihan dengan diri seorang Hawa. Fahamilah bahasa dan tindakan seorang Adam, dan elakkanlah berbincang perkara di luar konteks urusan kerja kerana itulah yang akan membuka ruang-ruang kecacatan atau lebih tepat lagi zina hati itu sendiri.

Jangan salahkan mereka yang memberi harapan atau layanan yang dirasakan caring tetapi salahkan diri sendiri kerana 'Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi'. Masalah yang hadir pada kita sebenarnya berpunca dari kita sendiri. Maka seringkali koreksi diri, dan muhasabah bagaimana akrabnya kita dengan Allah SWT, adakah kita merasai betapa DIA sangat caring pada diri kita?

Terangilah hati kita dengan cahaya iman, banyakkan zikrullah, dan selalu perbetulkan niat kita. Sememangnya kita bukan malaikat dan kita akan melakukan dosa. Namun, kita mampu berusaha untuk mengecilkan ruang-ruang terbitnya dosa itu. Kita seorang hamba yang lemah tetapi terkuat dalam kalangan hamba-hamba ciptaanNya yang lain.  


" Ya Allah, peganglah hati ini agar sentiasa dekat dengan Mu. Ya Ghaffar, ampunilah segala dosa-dosa yang telah Kami lakukan. Ya Allah, pimpinlah kami agar setiap langkah di dalam keredhaanMu. Jangan biarkan kami dalam kelalaian yang tidak kami sedari. Ya Ilahi, jadikanlah kami permata-permata Islam yang berharga dan tidak ternilai harganya dalam meneruskan tugas mata-mata rantai perjuangan baginda ini. Amiin Ya Rabb " 




ps : Ayuh muhasabah diri dalam menjejaki makna solehah pada diri seorang daie'..
  


No comments:

Post a Comment

Followers