Thursday, January 12, 2012

Sayap Kiri As-Syahid Hassan Al-Banna



......SAYAP KIRI KEPADA PERJUANGAN AL-BANNA.....

Assalamualaikum, salam perjuangan buat semua sahabat. Sedikit perkongsian bersama, kisah seorang MUJAHIDAH PILIHAN, sayap kiri perjuangan Hassan Al-Banna. Sebelum ini, saya ada berkongsi tentang kisah perjuangan Zainab Al-Ghazali, yang mana agak berbeza PERJUANGAN nya mungkin kerana berbeza pula kisah dakwah dan perjuangan antara suami dan isteri dalam baitul muslim mereka. InsyaAllah, sama-sama kita ambil manfaat dari kisah ini. 


PERANAN SEORANG WANITA

“Perempuan itu separuh daripada sebuah bangsa. Bahkan separuh yang paling mempengaruhi dan memberi peranan yang besar bagi hidupnya sesuatu bangsa,” ungkap  As-Syahid Hasan Al-Banna, pengasas Ikhwan Muslimin.
Di sebalik hebatnya seorang pemuda dalam memperjuangkan agama, hadirnya seorang wanita sebagai pendamping, memberi sokongan dan dorongan supaya terus maju mengorak langkah. Tidak dapat dinafikan, liku-liku perjuangan yang dihadapi oleh baginda Rasulullah SAW amat berat sekali. Namun hadirnya Khadijah yang sentiasa menenangkan dan membantu perjuangan baginda, membuatkan langkah-langkah baginda tetap teguh, walaupun dihina dan dicerca kaum sendiri.
Begitu juga dengan Hasan Al-Banna. Tugas beliau bukanlah mudah. Beliau meneruskan perjuangan Rasulullah SAW, di saat masyarakat sedang lena dengan gelombang jahiliyah. Kehidupan yang penuh dugaaan ini memerlukan kepada peranan seorang isteri yang dapat menghembuskan semangat  suami untuk meneruskan tugas-tugas dakwah. Hebatnya peranan seorang  isteri, sehingga mampu membuatkan si suami tetap tegar berdiri, di kala tiupan dugaan menyapa diri.

Wanita hebat di belakang lelaki yang hebat


Beliau adalah Lathifah Husain Ash Shuli, dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang taat melaksanakan perintah agama. Ayahnya merupakan seorang tokoh agama di Ismailiyah dan terlibat dalam dakwah Ikhwan  Muslimin. Ayahnya banyak mengajarnya tentang dakwah yang dibawa oleh Hasan Al-Banna sejak kecil lagi.
Setelah dinikahkan dengan Hasan Al-Banna, beliau menjalankan tugas sebagai seorang isteri dengan penuh ketaatan. Beliau menyedari bahawa tugas sebagai isteri kepada pejuang agama bukanlah mudah. Beliau juga sangat meyakini bahawa ketaatan kepada suami merupakan sebahagian daripada jihadnya di jalan dakwah ini.

Belajar erti pengorbanan
Diriwayatkan daripada Ibnu Hibban:
“Apabila seorang wanita itu solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan dan memelihara kemaluannya serta taat kepada suaminya, maka kelak akan dikatakan padanya, masuklah  dari mana-mana pintu syurga yang engkau inginkan”.
Inilah salah satu prinsip yang sangat dipegang oleh Lathifah. Dalam menjalani kehidupan rumahtangga bersama Hasan Al-Banna, beliau banyak belajar erti pengorbanan yang harus diberikan selaku seorang isteri kepada suami dan ibu kepada anak-anak.
Tahun demi tahun berlalu, bebanan tugas suaminya bertambah apabila dakwah Ikhwan Muslimin semakin berkembang. Pada masa yang sama, Lathifah terpaksa menguruskan keperluan anak-anak di rumah. Jadual si suami yang semakin sibuk dan kerap berada di luar rumah menuntut beliau untuk sentiasa bersabar dalam membesarkan dan mendidik anak-anak supaya mereka turut sama memahami hakikat kehidupan seorang pejuang. Lathifah tetap taat, melaksanakan kewajipan sebagai seorang isteri dengan penuh ikhlas. Beliau menerima perubahan itu dengan hati yang lapang dan keyakinan yang semakin kuat kepada Allah SWT.
Walaupun sibuk dengan urusan dakwah, Hasan Al-Banna tetap menjalankan tanggungjawabnya kepada isteri dan anak di rumah. Al-Banna sangat meyakini kebolehan isterinya dalam mengasuh anak-anak ketika ketiadaannya. Al-Banna juga percaya, isterinya bukan calang-calang orang, bahkan isterinya seorang yang sangat memahami tugasannya dalam dakwah. Dan ini telah dibuktikan apabila Lathifah sendiri sanggup mengorbankan kepentingan diri dan keluarga, demi menempatkan dakwah sebagai prioriti utama.
Sana’, salah seorang puteri Al-Banna pernah menceritakan tentang peribadi ibunya:
“Ibuku adalah seorang tua yang mendahulukan kepentingan dakwah melebihi kepentingan diri dan rumahnya. Ibu mengasuh kami dengan sebaik-baiknya, menyediakan rumah untuk menyambut kedatangan ayah yang pasti membawa amanah berat dari dakwahnya, agar ayah dapat merasai ketenangan, walaupun hanya beberapa jam di rumah, untuk kembali sibuk dalam berdakwah”.
Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam dakwah, kesetiaan Lathifah dalam mendukung cita-cita suaminya merupakan perjuangan yang besar. Beliau menganggap kader-kader dakwah Ikhwan Muslimin sebagai anaknya sendiri. Beliau juga mewakafkan rumahnya dan mengizinkan semua keperluan rumah digunakan untuk dakwah.

Wanita hebat itu setelah pemergian seorang suami
Sangat perit ujian yang terpaksa diharungi Lathifah. Saat si suami pergi menyambut seruan Ilahi, beliau terpaksa memikul tanggungjawab membesarkan enam orang anak yang masih kecil. Ketika itu, anak sulungnya, Wafa’ baru mencecah 17 tahun dan beliau sedang sarat mengandung. Namun, semua ini tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perjuangan dakwah suami tercinta.
Pernah suatu ketika sekitar tahun 1948, Lathifah tetap teguh bersama barisan ikhwah dan akhawat dalam menyambung perjuangan suaminya biarpun sebahagian besar pendokong dakwah Ikhwan Muslimin ditangkap. Lathifah tidak berdiam diri. Beliau mengambil sisa-sisa peninggalan harta yang dimiliki untuk diagihkan pada keluarga Ikhwan yang ditangkap. Beliau tidak tenang melihat keluarga-keluarga Ikhwan meraba-meraba untuk meneruskan kehidupan setelah suami mereka ditangkap.
Begitulah lembaran kehidupan seorang isteri kepada pejuang kebenaran, lembaran kehidupan yang penuh perjuangan dan pengorbanan yang luar biasa. Sejak awal pernikahan, beliau mengatur urusan rumahtangga dengan bijaksana, sehingga suaminya dapat merasakan ketenangan setiap kali pulang dari kerja-kerja dakwah. Beliau juga mengasuh dan mendidik anak-anak dengan penuh kesabaran, tanpa pernah mengeluh. Sehingga gugurnya si suami di saat beliau mengandungkan anak terakhir biarpun dalam keadaan yang sakit dan lemah. Kemudian, beliau meneruskan tanggungjawab mendidik anak-anak sehingga mereka benar-benar dapat menghayati dan meneruskan semangat juang seperti ayah mereka.
Perjuangan Lathifah membuahkan hasil yang gemilang. Semua anaknya sukses meraih predikat formal dalam pendidikan ilmiah. Yang sulung, bernama Wafa-menjadi istri Dr.Said Ramadhan. Kedua Ahmad Saiful Islam, kini sebagai sekjen advokat di Mesir. Ia juga pernah duduk di parlemen. Ketiga bernama Tsana, kini sebagai dosen di Universitas Kairo. Kelima Roja, kini menjadi dokter. Dan Halah sebagai dosen kedokteran anak di Universitas Azhar. Dan terakhir, Istisyhad sebagai doktor ekonomi Islam. Semuanya itu sebagai bukti, betapa berartinya sosok Ibu bagi keberhasilan dakwah sang suami. Selain juga untuk anak-anaknya.
Semoga kisah Lathifah Husain Ash Shuli ini memberi kekuatan untuk setiap wanita menjadi hebat sepertinya!

PERANAN KITA PULA?

Kita sebagai seorang MUJAHIDAH, didiklah diri agar kita mampu menjadi sayap kiri yang mampu memperkukuhkan lagi Dakwah Islamiyah ini. Bagi sesiapa yang belum membina komitmen dalam sebuah Baitul Haraki, maka gunakanlah peluang ini dengan sebaiknya untuk membentuk diri dan medium dakwah di luar sana dapat kita sama-sama beri komitmen yang terbaik. Manakala bagi yang telah menjadi sayap kiri ini, maka jadilah seorang pembantu yang terbaik serta mampu mendidik generasi akan datang agar kadir-kadir dakwah dapat terus dijana.



Rujukan : Laman web ISMA Mesir, d-kusumawardhani blogspot.

2 comments:

  1. Sis, syukran atas perkongsian. Ruang dan peluang utk sentiasa islah diri itu sentiasa ada. Kita tidak sempurna, malah jauh sekali utk mencapai taraf seorang Nabi atau malaikat. Pengalaman hidup telah Allah jadikan 'guru' yg mengajar kita,moga kita terus diberi kekuatan utk 'belajar' daripada 'guru' ini.. (ais)

    ReplyDelete
  2. Dearest sis, u r welcome.. Yes, totally agree with u, kita bukan sempurna namun begitu satu keistimewaan kita Allah sentiasa beri kita peluang walau berkali-kali kita lakukan kesilapan. InsyaAllah, semoga kita menjadi seorang Srikandi Islam yang terbaik di pandanganNYA. ^^

    ReplyDelete

Followers