Jangan Hanya Pandang, Tetapi Sedarilah Apa yang Akan Berlaku
GEMPAR SELURUH DUNIA TATKALA MUSIBAH YANG MELANDA NEGARA MESIR.
ADA YANG AMBIL BERAT, TIDAK KURANG JUGA YANG TIADA PERASAAN.
NAMUN APA YANG BAKAL SAYA HIDANGKAN INI ADALAH SATU BENTUK PENELITIAN YANG SAYA KIRA CUKUP BAIK UTK KITA SAMA-SAMA HADAMKAN, AGAR KITA FAHAMI BAGAINAMANAKAH KONDISI NEGARA KITA APABILA DIBANDINGKAN DENGAN MESIR SANA.
Hari ini saya tidak menulis tetapi saya cukup tertarik dengan tulisan Ustaz Nik Abduh ini, dan saya kepilkan di bawah ini untuk manfaat kita bersama. Semoga kita semua bangkit dari lena. Kalau dah terjaga, mula atur gerak dan langkah.
DARI BLOG USTAZ NIK ABDUH.
Salam Palestin,
Saat saya menggerakkan anak-anak jari untuk memulakan penulisan ini, saya tahu saya sedang berkongsi dengan seluruh dunia untuk melihat satu hukum karma yang maha pasti itu berlaku di bumi Mesir. Hukum karma pemiliknya adalah Allah. Kerana itu setiap muslim tidak betah menyebutnya, bahkan menamakannya sebagai sunnah Allah di muka bumi. Sunnah Allah bererti ketentuan dan hukum yang tetap daripadaNya.
Antara sunnah Allah yang mudah difahami dan dilihat ialah hukum pergantian atau silih berganti di antara dua yang berlawanan. Baik berganti buruk dan sebaliknya. Zalim berganti adil dan sebaliknya. Mulia berganti hina dan sebaliknya. Pergantian ini tidak berganti sendiri atau semudahnya. Ia mesti memuncak dan klimaks. Tali apabila sudah memuncak tegangannya, ia pun putus. Maka berlakulah pergantian, kental berganti kendur. Gagah berganti lembik.
Tiada malam yang kelam kecuali kemuncaknya adalah fajar nan menyinsing. Tiada panas yang memuncakkan teriknya kecuali bumi berpusing pantas ke sebelah timur meninggalkan matahari menggelongsor ke hujung barat. Begitu Allah memudahkan kita memahami sifir-Nya itu.
Presiden Husni Mubarak sedang cuba berhelah dengan sunnah ini. Sunnah Allah adalah keruntuhan dan kehinaan ke atas setiap penzalim dan thaghut di bumi-Nya. Firaun telah terhumban lemas di Laut Merah. Bani Israel kembali ke tangan keadilan nabi Musa alaihissalam. Semalam, Husni Mubarak, ketika rakyatnya menyerunya keluar dari Mesir di awal perhimpunan, dia melawan dan berusaha untuk tidak terbang melintasi Laut Merah ke Jeddah atau Dubai. Nah, hari ini rakyatnya meminta lebih daripada itu. Husni Mubarak untuk diadili, bukan untuk dihalau lagi. Kini, patungnya telah diangkat di Medan Tahrir ke tali gantung. Maut untuk penzalim dan thaghut!
Kata seorang penyair agung Tunisia, ‘Satu hari, apabila rakyat mahukan kehidupan (perubahan), maka pasti sekali al qadar (ketentuan tuhan) akan menjawab!’ Maka selepas puluhan tahun, al qadar menjelmakan dirinya, menyambut rakyat Tunisia yang bangkit menuntut kehidupan daripada hangus nyawa putus asa seorang anak mudanya yang dibakar kezaliman Ben Ali yang menjarah di bumi tuhan.
Fajar apabila ia bangkit, ia tidak hanya bangkit di Tunisia. Ia kini bergerak ke Mesir. Kemudian, malam yang kelam sedang menuju pula di Israel, negara haram di bumi Arab. Malam akan memuncak. Apabila fajar membunyikan locengnya, ia enggan kecuali menunggu azan yang akan berkumandang gagah di bumi al Quds.
Kata al imam al Qaradhawi,’Wahai Husni Mubarak, jika pemerintahan itu bagai ghanimah untukmu, maka 30 tahun itu sudah cukup. Jika pemerintahan itu adalah bebanan ke atasmu, maka 30 tahun itu juga sudah cukup. Turunlah kamu!’ Siapakah Husni Mubarak untuk menolak kalam karamah ini?
Kala para mustadhafin di seluruh jemari saraf bumi sedang menanti – nanti keajaiban sunnah Allah ini, kala itulah Allah membeliakkan mata seluruh para penjarah darah dan air mata di bumi-Nya mengarah ke bumi Mesir yang sedang mengumandangkan kalimah ‘La ilaha ilaLlah’ buat membakar sekutu syaitan dan Israel laknatuLlah itu.
Kezaliman memuncak. Kesabaran juga memuncak. Ia kini di medan pertembungan. Adakah anda menyangka kesabaran hujungnya adalah kehancuran? Tidak dan tidak!
Apa pun kesudahan di Mesir itu, Husni Mubarak sudah pun di gerbang neraka ciptaan rakyatnya sendiri. Oh, segala sanjungan berdekad dalam sekelip mata bertukar menjadi rentungan mendekap.
Malaysia apa khabar? Negara yang pernah bandar rayanya dilimpahi puluhan ribu rakyatnya yang berbaju kuning bertulis ‘BERSIH’ menuntut keadilan di dalam perlaksanaan pilihan raya yang dipenuhi penipuan dan penyelewengan. Dan mereka bagaikan anjing kurap sering kali dihalau dengan simbahan air asid daripada melawan kezaliman dan penipuan.
Malaysia apa khabar? Negara yang tak pernah diam dan tenang daripada pembongkaran rasuah kolar putih besar-besaran tetapi bilislah yang ditangkap secara kecil-kecilan pula. Kemudian mereka yang bersih dan mulia dituduh pula dengan rasuah dan kejahatan.
Malaysia apa khabar? Negara yang kadar jenayahnya, gejala sosialnya dan kemiskinan rakyatnya terus mewarnai kehidupan yang semakin menghimpit sedang kekayaan dari hasil mahsul buminya pula hanyalah berlegar di kayangan orang-orang kaya yang bertawaf di sekeliling serambi kuasa kezaliman pemerintahnya.
Sampaikan khabar buat Malaysia bahawa ajal sentiasa mendekat buat kezaliman dan penentang agama Allah. Sampaikanlah salam pula buat Malaysia bahawa ajal kezaliman akan berganti kehidupan penuh mulia buat rakyat dan pencinta keadilan dan keharmonian.
Malaysia bukanlah seiring Mesir yang begitu buruk politik pemerintahnya. Tetapi Husni Mubarak tidaklah perlu menunggu untuk menjadi seperti Firaun untuk segera rebah dipijak rakyatnya sendiri. Kezaliman adalah hantu kehidupan. Hantu itu bukan hanya hantu raya saja, bukan pula sundal di tengah malam saja.
Malaysia hanya ada dua pilihan; Samada pemerintahnya hari ini terus degil dengan keangkuhan menindas pembangkang dan rakyatnya yang menolak gaya hidup menindas dan menipu atau pemerintahnya segera membaiki kelemahan dan kesalahan dengan politik baru yang lebih adil.
Jika mereka memilih yang pertama, tunggulah keruntuhan dan kekalahan. Bukan Amerika, Israel, Singapura atau Indonesia yang akan datang. Bahkan rakyat seluruhnya akan datang sendiri merombak sistem dan gaya hidup melanun pemerintahnya. Jika mereka berdegil, hukum karma Allah setia menunggu panggilan rakyat yang tertindas.
Jika mereka memilih yang kedua, mereka perlu pula memilih di antara dua; Samada mereka memilih Islam sebagai cara hidup yang diredhai Allah atau mereka hanya memilih untuk kekal menolak Islam yang syumul, tetapi memperbaiki nilai demokrasi yang dianuti. Jika mereka memilih yang pertama, maka berbahagialah rakyat Malaysia dari atas sampailah ke bawah. Jika pula mereka memilih yang kedua, maka nyawa mereka akan lebih panjang dan ketentuan Allah akan bertangguh. Allah sentiasa menunggu untuk masa dan hari-Nya yang pasti.
Mengapa? Kerana pembaikian dan islah adalah jalan ugama. Jika pemerintah menyedari kesalahan dan kesilapan, lalu mereka membaikinya dengan menyempurnakan hak kemanusiaan dan rakyatnya, maka Islam menyambutnya dengan baik dan mereka dengan mudah memikat kembali hati rakyat. Semakin pemerintah membina sistem demokrasi yang menepati kehendak keadilan dan kesaksamaan, semakinlah mereka mendekati tuntutan ugama Islam.
Oleh kerana Islam bersifat tawaran terbuka dan bukan paksaan ke atas manusia di atas premis ujian Allah ke atas anak Adam di muka bumi ini, maka Islam akan subur di bumi yang adil dan tidak mengongkong. Jadi, kedua-dua pemerintah dan rakyat akan terlorong kepada Islam secara semulajadi yang harmoni dan menghiburkan.
Tetapi hak Allah di muka bumi adalah kekal. Tanggung jawab seorang muslim terhadap agamanya adalah kekal. Setiap umat Islam wajib mengangkat agama Allah untuk menjadi hakimnya di dunia ini. Itulah kewajiban khilafah di muka bumi.
Malaysia adalah negara umat Islam. Majoriti rakyatnya yang beragama Islam secara praktikalnya telah menepati lunas sistem demokrasi bahawa yang menguasai majoriti itulah yang berhak memerintah dan menentukan cara pemerintahannya. Justeru seruan ke arah pemerintahan Islam atau membina sebuah negara Islam adalah satu tuntutan yang dibenarkan oleh sistem yang mengagungkan hak majoriti.
Islam adalah pilihan untuk umat manusia tetapi adalah tanggung jawab ke atas umatnya. Setiap muslim, samada daripada PAS, UMNO, PKR atau apa pun, kewajiban menegakkan negara Islam adalah pasti secara fardhu ain ke atas mereka.
Berusaha ke arah itu melalui jalan yang syar’ie akan menyelamatkan mereka daripada murka dan azab Allah di akhirat nanti.
TAKBIR!!!
No comments:
Post a Comment